Thursday, August 5, 2010

3 dicekup positif dadah



JOHOR BAHRU – Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Johor menahan 24 individu dalam satu serbuan ‘walk in’ jalanan di sekitar bandar raya ini, di sini, kelmarin.

Operasi selama dua jam yang dinamakan sebagai Ops Belantara 12 di Jalan Meldrum, Jalan Segget dan Jalan Wong Ah Fook itu bermula sekitar jam 9.30 hingga 11.30 malam dengan kekuatan 16 pegawai dan anggota AADK negeri.

Ketua Unit Operasi AADK negeri, Zulhilmi Ahmat berkata, sasaran dan fokus operasi itu adalah untuk membasmi jenayah jalanan seperti ragut, samun, penagihan dadah dan individu awam yang berpelesiran di sekitar bandar raya selepas menerima aduan orang ramai.

Menurutnya, pihaknya menahan seramai 13 individu di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983 selepas didapati positif dadah dalam ujian saringan air kencing yang dijalankan.

“Operasi Belantara 12 dijalankan selepas AADK negeri menerima banyak aduan dan maklumat berhubung rasa bimbang serta tidak selamat orang ramai terhadap kawasan sekeliling mereka khususnya di bandar raya ini.

“Dari jumlah keseluruhannya yang ditahan, seramai lapan lelaki dan lima perempuan positif dadah selepas ujian saringan air kencing dilakukan, namun tiada rampasan dadah dibuat,” katanya kepada Sinar Harian.

Zulhilmi berkata, pihaknya akan menghantar air kencing milik 13 individu terbabit bagi mendapatkan pengesahan doktor untuk membawa kes ke mahkamah hasil daripada saringan awal yang dilakukan.

“Kita mahu dapatkan perintah mahkamah (tahanan reman) ke atas mereka yang ditahan ini sama ada untuk dihantar ke pusat serenti atau menjalani pengawasan selama dua tahun seperti ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Selain itu, katanya, menjadi hasrat AADK negeri melaksana operasi itu sebagai salah satu usaha membantu memberi peluang kepada penagih dadah yang ingin pulih mendapat proses pemulihan sewajarnya sejajar objektif Ops Res-Q iaitu konsep rawatan dan pemulihan.

No comments: