Tuesday, September 29, 2009

Renungan...untuk kita semua Besarnya Neraka Jahanam

Besarnya Neraka Jahanam.

Yazid Arraqqasyi dari Anas bin Malik ra. berkata:

Jibrail datang kepada Nabi s.a.w pada waktu yg ia tidak biasa, datang dalam keadaan berubah mukanya, maka ditanya oleh Nabi s.a.w.: "Mengapa aku melihat kau berubah muka?" Jawabnya: "Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan penyalaan api neraka, maka tidak layak bagi orang yg mengetahui bahawa neraka Jahannam itu benar, dan siksa kubur itu benar, dan siksa Allah itu besar untuk bersuka-suka, sebelum ia merasa aman daripadanya. " Lalu Nabi s.a.w. bersabda: "Ya Jibrail, jelaskan padaku sifat Jahannam. "Jawabnya: "Ketika Allah menjadikan Jahannam, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam, maka ia hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakar penduduk dunia semuanya kerana panasnya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan bahangnya. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan satu pergelangan dari rantai yg disebut dalam Al-Qur'an itu diletakkan di atas bukit, nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yg ke tujuh. Demi Allah yg mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang di hujung timur kerana sangat panasnya. Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya besi, dan minumannya air panas campur nanah, dan pakaiannya potongan-potongan api. Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari orang laki-laki dan perempuan. " Nabi s.a.w. bertanya: "Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu-pintu rumah kami?" Jawabnya: "Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanan 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda. "(iaitu yg lebih bawah lebih panas).

Tanya Rasulullah s.a.w.: "Siapakah penduduk masing-masing pintu?"
Jawab Jibrail: "Pintu yg terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yg kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat Nabi Isa a.s. serta keluarga Fir'aun sedang namanya Al-Hawiyah.
Pintu kedua tempat orang-orang musyrikin bernama Jahim.
Pintu ketiga tempat orang shobi'in bernama Saqar.
Pintu ke empat tempat Iblis dan pengikutnya dari kaum Majusi bernama Ladha.
Pintu kelima orang Yahudi bernama Huthomah.
Pintu ke enam tempat orang Nasara bernama Sa'eir.
"Kemudian Jibrail diam segan pada Rasulullah s.a.w. sehingga ditanya: "Mengapa tidak kau terangkan penduduk pintu ke tujuh? "Jawabnya: "Di dalamnya orang-orang yg berdosa besar dari ummatmu yg sampai mati belum sempat bertaubat. "Maka Nabi s.a.w. jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail meletakkan kepala Nabi s.a.w. di pangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah sedar Nabi s.a.w bersabda: "Ya Jibrail, sungguh besar kerisauanku dan sangat sedihku, apakah ada seorang dari ummatku yang akan masuk ke dalam neraka? "Jawabnya: "Ya, iaitu orang yg berdosa besar dari ummatmu. "Kemudian Nabi s.a.w. menangis, Jibrail juga menangis, kemudian Nabi s.a.w. masuk ke dalam rumahnya dan tidak keluar kecuali untuk sembahyang kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila sembahyang selalu menangis dan minta kepada Allah. (dipetik dari kitab "Peringatan Bagi Yg Lalai") Dari Hadith Qudsi: Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan kamu tak dapat bertahan dengan panasnya terik matahariKu. Tahukah kamu bahawa neraka jahanamKu itu:

1. Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat
2. Setiap tingkat mempunyai 70,000 daerah
3. Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung
4. Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah
5. Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik
6. Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak
7. Setiap kotak mempunyai 70,000 batang pokok zarqum
8. Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular
9. Di dalam mulut setiap ular yang panjang 70 hasta mengandungi lautan racun yang hitam pekat.
10. Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai
11.Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat Nastaghfirullah.
Mudah-mudahan peringatan ini dapat menimbulkan keinsafan kepada kita semua. Wallahua'lam

Saturday, September 26, 2009

selamat menyambut eidul fitri 1430H







selamat menyambuat edul fitri 1430 h,semoga syawal ini memberi pengertian yang besar dalam hidup kita...tahun ini beraya dirumah mak mertua petang raya pertama balik kampong di jerteh terengganu...selamat edulfitri maaf zahir dan batin buat semua teman-teman.

Friday, September 11, 2009

Rahsia Al-Fatihah

Al Fatehah ada tujuh ayat. Kalau kita lihat, tujuh ayat dalam Al Fatehah itu dirangkapkan dua ayat, dua ayat. Ia seolah-olah berbentuk sajak. Hujungnya disamakan iaitu sama ada huruf mim atau huruf nun di akhir setiap ayat. Ada ayat yang berakhir dengan 'mim' dan ada ayat yang akhirnya dengan 'nun'. Ayatnya seolah-olah bahagian akhirnya dipasang-pasangkan.

Sebenarnya dalam jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh ini, ada hikmah yang besar. Secara isyarat, ia ada hubungan dengan manusia dan dengan ciptaan Tuhan. Antaranya ialah:

1. Tujuh ayat menggambarkan tujuh hari dalam seminggu

Dalam tujuh hari itulah sama ada manusia hendak jadi jahat atau jadi baik, dapat rahmat atau dapat laknat, dapat bahagia atau celaka, jadi kafir atau jadi mukmin, kaya atau susah, sakit atau sihat. Apakah ada hari yang lain selain daripada tujuh hari itu (yakni Ahad hingga Sabtu)? Tentu tidak. Ertinya dalam masa seminggu, kalau seseorang itu benar-benar menghayati Al Quran; yang intipatinya ada dalam tujuh ayat Fatehah itu, sehingga ia benar-benar berperanan dalam hidupnya, maka dalam seminggu itu dia boleh selamat. Kalau Fatehah tidak berperanan pada dirinya dalam seminggu, maka akan kena laknatlah dia. Huru-hara, haru-biru dan celakalah hidupnya.

2. Tujuh ayat berkait dengan tujuh anggota badan

Dalam seminggu itu sama ada manusia jadi baik atau buruk, ditentukan oleh anggota yang tujuh. Sebab itu dalam sembahyang; yang mana sembahyang itu adalah rukun Islam yang kedua; kesemua tujuh anggota ini terlibat atau digunakan. Kalau agama lain, mereka menyembah Tuhan tidak melibatkan semua anggota. Sebaliknya dalam ajaran Islam, semua anggota terlibat untuk tunduk dan patuh kepada Tuhan.

Ketujuh-tujuh anggota itu ialah:

a. Kepala - ini termasuklah anggota-anggota yang ada di kepala seperti mata, mulut, telinga, lidah dan lain-lain. Kegunaan kepala pula ada bermacam-macam jenis.
b. Dua tangan - ia juga banyak peranannya. Ia boleh berbuat baik atau berbuat jahat, boleh bunuh orang, boleh selamatkan atau celakakan orang.
c. Kedua-dua lutut
d. Kedua-dua tapak kaki

Dalam sembahyang, anggota-anggota sujud itu merupakan tujuh anggota penting tubuh manusia. Semuanya terlibat dalam solat. Dalam doa Iftitah kita menyebut, "Hidupku dan matiku adalah untuk Allah." Ertinya semua anggota yang penting dalam diri kita ini secara tidak langsung sudah kita ikrarkan bahawa kita serahkan pada Allah. Ertinya kita akan menggunakannya ke jalan Allah sebagaimana yang Allah kehendaki. Oleh itu kalau kita sedari dan hayati, apa yang disebut dalam bacaan melibatkan juga anggota dalam perbuatan.

3. Tujuh ayat berkait dengan tujuh Neraka dan tujuh Syurga

Al Fatehah ada tujuh ayat. Kalau intipati Quran dapat dihayati atau tidak dapat dihayati, itu yang akan menentukan nasib seseorang nanti sama ada Neraka yang tujuh atau Syurga yang tujuh. Semua ditentukan oleh intipati Al Fatehah. Kalau Al Fatehah berperanan dalam hidupnya, dia akan dapat salah satu dari tujuh peringkat Syurga. Kalau tidak dapat dihayati dan tidak dapat dijadikan amalan hidup, dia akan masuk salah satu dari tujuh peringkat Neraka.

4. Tujuh ayat itu juga menggambarkan di dunia ini ada tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi
Di langit ada macam-macam makhluk Tuhan yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Demikian juga dengan tujuh lapis bumi yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Ramai ahli sains yang membuat kajian sudah mengesahkannya tetapi ia setakat hubungan yang lahir.

Sebenarnya ia bukan sekadar hubungan yang lahir sahaja. Manusia bukan hanya berhubung dengan matahari, bulan dan bintang sahaja. Tidak juga hanya berhubungan dengan isi bumi, lautan, hutan, binatang, tanaman dan seumpamanya. Bahkan manusia juga berhubung rapat dengan makhluk yang ghaib seperti malaikat.

Malaikat juga menentukan hidup manusia. Kenapa? Sebab ia juga tumpang mendoakan manusia pada Tuhan dan ia juga boleh tumpang melaknat manusia. Tetapi hal yang ghaib ini ahli sains tidak dapat kesan. Mereka hanya mampu kesan yang lahir seperti hubungan matahari dengan manusia, hubungan bulan, pasang surut air laut, bintang-bintang dengan kehidupan manusia. Tentang malaikat, mereka tidak tahu.
Padahal malaikat ikut campur tangan dalam menentukan keselamatan manusia. Mereka juga mendoakan dan memberi berkat dengan izin Tuhan. Mereka juga melaknat manusia dengan izin Tuhan kerana kederhakaan manusia. Perkara yang ghaib ini ahli rohani sahaja yang boleh kesan tetapi saintis tidak boleh kesan.

Selain malaikat, jin-jin juga ada hubungan dengan hidup manusia. Ini tidak dapat dikesan oleh ahli sains, tetapi boleh dikesan oleh ahli-ahli rohani. Apa maksud jin-jin juga terlibat? Jin itu hidupnya ditumpangkan dengan manusia. Dia bergaul dengan manusia. Oleh sebab itu, apa bahasa manusia itulah bahasa jin. Kalau di Malaysia menggunakan bahasa Melayu, jin pun bercakap dalam bahasa Melayu. Di Indonesia, jin bercakap bahasa Indonesia. Kalaulah di Malaysia ada jin yang berbahasa Indonesia, bermakna jin itu berasal dari Indonesia. Jin di negara Arab berbahasa Arab. Jadi jin tumpang bahasa manusia itu untuk menunjukkan manusia lebih mulia dari jin.

Selain itu, jin juga tumpang belajar dengan manusia. Firman Allah di dalam Al Quran:
Maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al Quran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan (nya) lalu mereka berkata, 'Diamlah kamu (untuk mendengarkannya) .' Ketika pembacaan itu selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan." (Al Ahqaf: 29)

Mujurlah kita tidak nampak jin sebab kita tidak akan sanggup hendak melihatnya. Begitu juga soal makan. Jin kafir makan tulang-tulang haiwan yang disembelih oleh orang kafir. Jin Islam pula tumpang makan tulang-tulang binatang yang disembelih oleh orang Islam. Oleh sebab itu berhati-hatilah apabila membuang tulang. Buanglah pada tempatnya. Kalau tulang-tulang itu dibiarkan bersepah, jika ada jin yang datang untuk makan lalu terlanggar anak kita maka akan timbul masalah.

5. Tujuh ayat ini kalau kita jadikan panduan, ia boleh didik nafsu kita yang tujuh peringkat.
Inilah hikmah terpenting dari jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh itu. Makin kita hayati, makin kita dapat mendidik diri dan nafsu kita. Bila dikategorikan, nafsu manusia ada tujuh peringkat iaitu:
i. Nafsu ammarah
ii. Nafsu lawwamah
iii. Nafsu mulhamah
iv. Nafsu mutmainnah
v. Nafsu radhiah
vi. Nafsu mardhiah
vii. Nafsu kamilah

Isi Al Quran itu terkandung dalam Al Fatehah yang terdiri dari tujuh ayat. Nafsu ada tujuh peringkat dan ayat Al Fatehah juga ada tujuh. Itu bukan kebetulan. Hikmahnya adalah, kalau Al Fatehah ini dihayati, nafsu boleh menjadi baik. Nafsu itulah yang menentukan celaka atau bahagia, patuh atau tidak patuhnya kita pada Tuhan. Paling-paling lemah, Al Fatehah atau isi Al Quran ini dapat mendidik nafsu sampai ke peringkat mulhamah. Walaupun nafsu mulhamah ini masih belum mantap, masih goyang tapi itu pun dikira sudah baik. Itulah nafsu orang soleh. Manakala mutmainnah pula, ia peringkat nafsu yang sudah istiqamah, sudah tetap serta tidak mudah goyang.

Di sini juga dapat kita faham bahawa manusia akan bermula dengan nafsu yang paling jahat kepada nafsu yang paling baik kalau dia benar-benar mengendalikan nafsunya itu. Kalaulah manusia menghabiskan banyak masanya untuk mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan nafsu dan mempraktikkannya, sesungguhnya manusia akan mampu meningkatkan dirinya dari tahap ke tahap. Dia akan dapat meningkatkan dirinya daripada bernafsu ammarah kepada lawwamah, mulhamah, mutmainnah dan paling tinggi akan sampai kepada mardhiah. Namun ada di kalangan manusia yang mampu sampai kepada nafsu kamilah; nafsu yang paling atas; iaitu para nabi dan rasul. Manusia biasa boleh menjangkau sampai nafsu mardhiah sahaja kalau dia sangat berusaha mengendalikan nafsunya.

Cara untuk kita mengendalikan nafsu hingga sampai ke taraf malaikat, itu semua mesti dirujuk kepada Al Quran. Ia tidak boleh dirujuk kepada ilmu jenis lain. Siapa yang boleh menguasai Al Quran sepenuhnya dan mempraktikkan Al Quran terhadap nafsunya, maka dia akan merasai bagaimana dia merangkak beralih dari satu tahap ke satu tahap. Hebatnya Allah kerana menciptakan dalam diri manusia, satu nafsu yang tidak boleh dilihat tetapi memang berperanan. Kalau manusia mahu, dia boleh mentadbir nafsunya itu. Tetapi untuk itu ianya mesti dirujuk kepada Al Quran.

Ayat Al Quran itu terlalu banyak, namun Allah yang Maha Bijak telah meminta kita memberi tumpuan kepada tujuh ayat sahaja. Kalau kita boleh mengambil tujuh ayat ini untuk kita kuasai segala kekuatan yang ada di dalamnya maka kita akan boleh mengendalikan nafsu kita. Yang sebenarnya kalau kita boleh kuasai tujuh ayat itu, kita boleh sampai ke peringkat ketujuh, yang mana nafsu itu boleh kita tadbir dan kuasai. Nabi-nabi boleh melakukannya hingga mereka sampai peringkat ketujuh itu.

Allah yang menciptakan nafsu itu tujuh peringkat, tahu untuk memadankannya dengan tujuh ayat dari surah Al Fatehah itu. Allah SWT menetapkan kekuatan tujuh ayat Al Fatehah itu boleh mengendalikan tujuh peringkat nafsu itu walaupun sifatnya tidak sama. Namun kita seperti diberi amaran bahawa kebanyakan manusia tidak akan mampu untuk mengambil seluruh kekuatan Al Fatehah itu untuk memerangi nafsu sehingga peringkat tertinggi melainkan setakat mulhamah atau paling tinggi mutmainnah.

Maha Besar Tuhan yang mampu mencipta tujuh ayat yang dengan kekuatannya mampu berhadapan dengan tujuh peringkat nafsu. Saintis pun tidak pernah boleh mengesan kehadiran nafsu itu tetapi Allah boleh wujudkannya dan Allah berkata bahawa Dia membuatnya sebanyak tujuh jenis. Namun orang rohani yang diberi ilham oleh Allah boleh melihat kekuatan Al Fatehah ini yang dirangkum dalam tujuh ayat. Rupanya walaupun ilmunya ilham tetapi ia bersifat falsafah. Iaitu melihat keajaiban ciptaan Tuhan merangkumkan kekuatan 6,666 ayat itu ke dalam tujuh ayat sahaja yang mana ia boleh dipakai untuk mengendalikan tujuh peringkat nafsu. Ia bukan kebetulan. Seseorang yang dhaif dalam mengambil tujuh ayat ini maka dia akan dhaif dalam mengendalikan tujuh tahap nafsu itu.

Jadi di sini kita sudah nampak kebesaran Fatehah padahal baru memperkatakan kulit atau muqaddimahnya sahaja. Baru di pintu Fatehah, belum masuk ke dalam tetapi sudah nampak besar isinya. Oleh sebab itulah saya lebih suka mengatakan Al Fatehah itu 'Surah Yang Dapat Kemenangan' daripada menamakan ia 'Surah Pembukaan'.

Kalau ulama masyhurkan Al Fatehah itu sebagai Surah Pembukaan kerana ia diletak di depan Al Quran, itu tidak salah tetapi bagi saya elok dimasyhurkan sebagai Surah Kemenangan sebab pengertiannya lebih luas. Ini kerana ia merangkumi semua kehidupan langit dan bumi, yang ghaib dan rohani seperti Syurga, Neraka, nafsu dan lain-lain. Tuhan sendiri dalam menamakan surah ini menggunakan isim fi'il - 'yang telah mendapat kemenangan'. Lebih baik makna ini kita masyhurkan kerana Surah Fatehah itu menentukan seseorang itu mendapat kemenangan atau tidak sama ada di dunia mahupun di Akhirat. Agar dengan itu hidup ini dipandang berat dan tidak disia-siakan. Jangan dianggap semuanya kebetulan. Ia ada hubung kaitnya dengan hidup kita.

Nukilan: Alang Aminah Mahyudin (a2aminah@yahoo. com.au)
Di rakam dari syarah : Ustaz Hj Ashaari Muhammad

Tuesday, September 8, 2009

Tahap dan Tingkatan Puasa

Bulan Ramadan semakin meninggalkan kita. Saat artikel ini ditulis, sudah masuk hari yang ke 18. Bagaimanakah dengan puasa kita. Ditahap "tadika" , "sekolah rendah" , "sekolah menengah " atau "universiti". Masing2 melalui ramadan mengikut tahap keimanan dan ketakwaannya. Begitu juga dengan amalan-amalan yang lain. Firman Allah swt:

ولكل درجات مما عملوا

"Dan setiap orang yang beramal mempunyai tahap dan tingkatan yang tertentu." (Al-'Anam : 132)

Kebanyakan kita hanya melalui "ramadan primary school" iaitu hanya menahan lapar dan dahaga. Adakah ini sudah memadai untuk membolehkan puasa kita diterima. Cuba kita renung hadis ini:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الّزُوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلهِ حَاجَةً فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

"Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan dan perbuatan yang tidak elok maka Allah tidak memerlukan (memberi pahala) terhadap meninggalkan makan dan minum." (Hr Bukhari - sahih)

Hadis dibawah ini lebih menjelaskan lagi apakah puasa yang sebenar. Nabi saw bersabda:

لَيْسَ الّصِيَامُ مِنْ الّطَعَامِ وَالّشَرَابِ إِنَّمَا الّصِيَامُ مِنَ الّلَغْوِ وَالّرَفَثِ

"Bukanlah puasa yang sebenar orang yang hanya tidak makan dan tidak minum, puasa yang sebenar adalah orang yang tidak melakukan perbuatan dan perkataan yang lagha dan tidak bercakap perkataan yang keji." (Hr Hakim, Ibnu Hibban dan Baihaqi - sahih)

Setelah kita membaca kedua hadis ini, kita mesti merenung dan mengingati kembali segala puasa-puasa kita sebelum ini. Bagaimana dengan puasa kita selama ini. Cuba kita lontarkan persoalan-persoalan ini:

1. Adakah kita masih mengumpat (walaupun benar) dan mengata keburukan orang lain semasa puasa? Memaki dan mencerca orang lain?
2. Adakah kita masih memandang perkara yang haram semasa puasa? melihat movie yang mengandungi gambar yg boleh menyeronokkan nafsu syahwat kita? kebanyakan drama, filem dll ada perkara ini.
3. Adakah kita masih melakukan hubungan cinta semasa puasa ?
4. Adakah kita mendengar lagu-lagu yang haram atau mendengar orang yang mengumpat ketika puasa?
5. Adakah kita menggunakan tangan dan kaki kita untuk perkara yang haram?

Kalau ada salah satu perkara diatas, maka dikhuatiri pahala amalannya lenyap begitu sahaja. Habislah penat lelah dia berpuasa. Renungilah hadis dibawah ini:

رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوْعُ وَالْعَطَش

"Ramai orang yang berpuasa yang hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja." (Hr Ibnu Majah - hasan sahih)

Semestinya kita merasa takut dan bimbang termasuk dalam orang yang tidak diterima puasa dan amalannya. Inilah sikap para ulama salafus soleh yang begitu bimbang amalan mereka tidak diterima walaupun mereka telah melakukan yang terbaik. Abdullah Ibnu Umar berkata:

"Kalaulah aku mengetahui Allah sudah menerima daripadaku satu sujud atau satu dirham sedekah , pasti kematian lebih aku cintai dari segalanya."

Seorang sahabat Nabi saw Fudalah ra juga berkata:

"Kalau aku tahu Allah telah menerima amalanku sebesar biji zarah lebih aku sukai dari dunia dan seisinya."

Oleh itu kita kena sentiasa menilai kembali puasa kita, ditahap manakah ia? kalau kita sudah dapat memelihara anggota kita dari perbuatan yang tidak elok semasa puasa maka kita sudah layak ke tahap pertengahan atau kita sebut "sekolah menengah".

Bagaimakah untuk kita melayakkan puasa kita ditahap "universiti". Kita bukan sahaja menjaga anggota kita semasa puasa malahan menjaga hati kita dari selain dari Allah. Inilah jawapan seorang Soleh, bila ditanya "Kamu puasa dari apa?" lalu beliau menjawab:

أن الصائم عما سوى الله

"Aku menahan diri dari mengingati selain dari Allah."

Kesimpulan

Marilah kita sama-sama meningkat kualiti puasa kita. Begitu juga dengan amalan-amalan yang lain. Ini bagi memastikan amalan kita diterima. Ramai orang yang diberi kekuatan untuk beramal tetapi tidak ramai amalannya yang diterima. Imam Ibnu "Ataillah as-Sakandari berkata:

رُبَّمَا فَتَحَ لَكَ بَابَ الّطَاعَةِ وَلَمْ يَفْتَحْ لَكَ بَابَ الْقَبُوْلِ

"Kemungkinan Allah membuka pintu amal untuk kamu dan Allah belum membuka pintu penerimaan amalan untukmu."

Penerimaan amalan memerlukan keikhlasan dan bertepatan dengan apa yang dituntut oleh syara'. Kita mesti menuntut ilmu untuk memastikan amalan kita bertepatan dengan syariat dan bagaimana utuk mencapai keikhlasan. Oleh itu sama-samalah kita turun belajar menambah ilmu di kelas-kelas pengajian. Sunnah dalam menuntut ilmu adalah belajar berguru secara berdepan seperti mana Nabi terima wahyu dari Jibril dan para sahabat belajar dari Nabi saw. Nabi saw bersabda:

مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ لَا يُرُيْدُ إِلَّا أَنْ يَتَعَلَّمَ خَيْرًا أَوْ يُعَلِّمَهُ كَانَ لَهُ كَأَجْرِ حَاجٍ تَامٌّ حَجَّتُهُ

"Sesiapa yang pergi ke Masjid waktu pagi hanya semata-mata menuntut ilmu yang baik atau mengajarnya dia mendapat pahala orang yang menunaikan haji yang mana sempurna hajinya." (Hr Hakim dan Tabrani - Hasan)

Kenapa pahala sebesar ini tidak diberikan kepada orang yang menambah ilmu dgn pembacaan? Cuba fikir... InsyaAllah saya akan jawab dalam tajuk belajar secara berdepan dengan guru. Tidak salah membaca, malahan digalakkan tapi jadikan ia sebagai tambahan bukan yang utama.

TINGKATKAN KUALITI PUASA KITA

Rujukan: Tafsir Sofwatut Tafasir oleh Sobuni, Lataiful Ma'arif oleh Ibnu Rajab dan Makhawifus Solihin Min adamil Qabulil A'mal oleh Dr Muhammad Azuz .


Sumber oleh:

Posted by akhisalman

Dicatat oleh DRS. KHALIL IDHAM LIM