Sunday, July 25, 2010

mabuk undang padah

Mabuk undang padah

JOHOR BAHRU - Tindakan pengunjung berpesta dalam keadaan mabuk dan khayal di salah sebuah pusat hiburan di Jalan Stulang Laut, di sini, mengundang padah apabila premis terbabit diserbu awal pagi semalam.

Serbuan sekitar jam 12 tengah pagi yang dinamakan sebagai Ops Belantara 11 itu hasil gabungan tiga jabatan iaitu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Jabatan Agama Johor (JAJ).

Ketua Unit Operasi AADK negeri, Zulhilmi Ahmat berkata, sasaran dan fokus operasi itu adalah pengunjung penyalahgunaan dadah di premis hiburan selepas menerima banyak maklumat dan aduan daripada orang awam.

Menurutnya, pihaknya menahan seramai tiga individu di bawah seksyen 31 Akta Penagih Dadah (APD) 1983 selepas didapati positif dadah dalam ujian saringan air kencing yang dijalankan.

“Operasi bersepadu ini dijalankan selepas menerima banyak aduan dan maklumat memberitahu pengunjung yang hadir didapati membawa masuk ke dalam premis seterusnya menyalahgunakan dadah-dadah dilarang.

“Secara keseluruhannya, seramai tiga individu iaitu seorang wanita dan dua lelaki daripada 43 pengunjung yang menjalani ujian saringan air kencing ditahan kerana positif dadah.

“Antara dadah yang dikenal pasti dalam serbuan ini adalah methamphetamine, amphetamine, ketamin dan kanabis kerana cara pengambilannya mudah selain senang untuk dibawa masuk ke dalam premis,” katanya kepada Sinar Harian.

Zulhilmi berkata, pihaknya akan menghantar air kencing milik tiga individu terbabit bagi mendapatkan pengesahan doktor untuk membawa kes ke mahkamah hasil daripada saringan awal yang dilakukan.

“Kita mahu dapatkan perintah mahkamah ke atas tiga individu ini sama ada untuk dihantar ke pusat serenti atau menjalani pengawasan selama dua tahun seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Dalam operasi ini juga, tiada sebarang rampasan dadah dibuat, namun beberapa anggota yang terlibat ada menemui bekas plastik lut sinar mengandungi ketamin hasil pemeriksaan dibuat,” katanya.

Selain itu, katanya, seramai enam pengunjung Melayu beragama Islam ditahan JAJ di bawah Enakmen Syariah Seksyen 19 Negeri Johor selepas positif dalam ujian saringan alkohol.

No comments: